Tuesday 21 October 2014

Sejarah Putera Serapi

Pergaduhan. Sejarah selalu mencatatkan pergaduhan dan semuanya demi untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Umumnya, pergaduhan itu berpunca dari kejelitaan seorang wanita ataupun ketampanan seorang lelaki. Kalau tak percaya, boleh semak di Google sekarang dan baca sendiri sejarah lampau yang berkaitan dengan pergaduhan.

Di Sarawak, kisah pergaduhan antara dua puteri iaitu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang berkisar tentang kecantikan, kelebihan dan juga cinta. Putera Serapi, putera tampan menjadi rebutan. Menerusi buku terbitan DBP, putera yang dijadikan rebutan ialah Putera Murud dari Gunung Murud. Tetapi, nama Putera Serapi lebih banyak disebut dan dikaitkan dengan puteri dua beradik tersebut. Sejujurnya, aku pun keliru. Putera yang mana jadi rebutan? Untuk entri kali ini, Putera Serapi jadi pilihan. Lagipun, sejarah Gunung Murud memang susah nak dapat *sudden give up

Kronologi pendek cinta tiga segi antara Putera Serapi, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dihantar untuk mendamaikan dua buah kampung iaitu Kampung Pasir Kuning dan Kampung Pasir Putih yang sering bergaduh. Selepas kehadiran dua puteri tersebut, kampung tersebut menjadi aman damai. Puteri Santubong mengajar penduduk Kampung Pasir Kuning menenun kain manakala Puteri Sejinjang mengajar penduduk Kampung Pasir Putih menumbuk padi. Hasilnya, kain tenunan di Kampung Pasir Kuning laris dijual dan hasil tanaman Kampung Pasir Putih bertambah subur. Ketika saudagar ramai berkumpul, Puteri Serapi dari Matang datang untuk melihat sendiri kecantikan dan kehebatan dua orang puteri tersebut. Terdapat juga versi mengatakan Putera Serapi sebenarnya jatuh cinta pada Puteri Santubong tetapi Puteri Sejinjang cuba untuk memikat Putera Serapi. Akhirnya, Putera Serapi menghantar pinangan untuk menjadikan kedua-dua puteri itu sebagai isterinya. Tetapi, Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang berasa disaingi dan tidak mahu berkongsi cinta dengan lelaki yang sama. Maka, mereka berdua bergaduh dan bertengkar. Puteri Santubong tumbang kerana dipukul dengan alu penumbuk, Puteri Sejinjang pula rebah kerana dilibas dengan kayu belidak sehingga bersepai kepalanya. Kedua-dua puteri itu disumpah oleh Dewata kerana sikap mereka sendiri manakala Putera Serapi patah hati kerana kehilangan kedua-dua puteri tersebut. Putera Serapi dikatakan membawa diri jauh ke dalam hutan, ke sebuah gunung dan akhirnya hilang tanpa khabar berita. Gunung Serapi dikatakan tempat di mana Putera Serapi menghabiskan sisa kehidupannya. Malah, Gunung Serapi boleh dilihat dengan jelas di atas puncak Gunung Santubong. 

*Terdapat sumber menyatakan kampung di bawah jagaan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang bernama Kampung Pantai Biru dan Kampung Pantai Kuning.

Latar Belakang Putera Serapi

Sejujurnya, tak banyak yang aku dapat dari laman sesawang dan atau blog. Sejarah Putera Serapi ni agak kabur dan tak banyak maklumat. Jadi, aku cuma kumpulkan maklumat asas sahaja.

Nama: Putera Serapi
Nama sebenar: Tidak diketahui. 
Asal-usul: Tidak diketahui.
Mungkin berasal dari susur galur raja di Brunei. Mungkin juga berasal dari susur galur tanah seberang.
Tempat: Matang.
Matang merupakan daerah yang besar dan mencakupi banyak kawasan pada masa kini. Tidak mustahil jika terdapat kerajaan kecil di sana dan didiami oleh keluarga Putera Serapi pada masa dahulu.
Bakal isteri: Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang
Pekerjaan: Mungkin seorang pedagang.
Ia berdasarkan catatan kisah bahawa Putera Serapi telah datang ke kampung-kampung pimpinan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang kerana tersebar berita bahawa hasil tenunan kain dan tanaman kedua-dua kampung tersebut menjadi rebutan saudagar-saudagar lain.
Hobi: Mengembara.
Ia berdasarkan sikap Putera Serapi yang tertarik dengan sesuatu khabar di sesebuah tempat lalu mengembara ke tempat tersebut untuk melihat sendiri tarikan diperkatakan. Ia juga amalan putera dahulukala, mengembara adalah satu perkara biasa bagi anak-anak raja dalam mencari ilmu.
Gambaran Putera Serapi: Wajah tampan, gagah dan bersifat kepahlawanan.  
Sifat-sifat tersebut telah menyebabkan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang jatuh cinta pada lelaki yang sama.
Tempat terakhir didiami: Gunung tertinggi di Matang.
Memandangkan Putera Serapi sendiri berasal dari Matang, tidak mustahil Putera Serapi kembali semula ke Matang selepas mengetahui Puteri Santubong dan Puteri Sejnjang telah disumpah oleh Dewata. Gunung tersebut dipilih mungkin atas empat sebab yang menarik:
  • Gunung tersebut ialah gunung paling tinggi di Matang. Pada masa dulu, gunung merupakan kawasan penting, dipandang suci dan dihormati oleh masyarakat setempat.
  • Gunung adalah tempat yang sesuai untuk bertapa dan bermeditasi. Ia juga menjadi tempat pilihan masyarakat dahulukala untuk melupakan keduniaan dan mendalami ilmu. Juga tempat yang sesuai untuk melupakan kekecewaan.
  • Secara fakta, puncak Gunung Serapi kelihatan di puncak Gunung Santubong (menurut pendaki di Gunung Santubong)
  • Bukan satu kebetulan, puncak Gunung Santubong boleh dilihat di Gunung Serapi.
Dua sebab terakhir seperti memperlihatkan hubungan antara Puteri Santubong dan Putera Serapi itu sendiri.
Pengakhiran hidup Putera Serapi: Tidak diketahui. 
Apa yang dicatatkan oleh kisah-kisah penglipur lara, mitos atau legenda cuma Putera Serapi patah hati kerana cintanya tidak kesampaian. Sama ada hasratnya untuk menikahi kedua-dua puteri tersebut, ataupun cintanya terhadap Puteri Santubong terhalang, tiada siapa yang mengetahuinya. Wallahu 'alam.

@themagi2014
image credit: flickr.com

No comments:

Post a Comment